Destinasi Pantai & Alam Semulajadi Menarik di Melaka

Walaupun tempat tarikan pelancongan di Melaka lebih terkenal sebagai negeri yang kaya dengan tempat bersejarah dan warisan budaya dunia, namun tidak bermakna Melaka tiada tempat menarik di tepi pantai atau pun tarikan alam semula jadi yang boleh anda kunjungi untuk santai-santai bersama-sama keluarga.

Berikut merupakan beberapa destinasi pantai dan kawasan alam semulajadi yang popular di Melaka yang sering menjadi kunjungan orang ramai baik pada hujung minggu ataupun pada musim cuti sekolah.

 

Pantai dan Pulau di Melaka


pantai klebang di melaka

Pantai Klebang – Pantai rekreasi yang sangat popular di Melaka. Kalau teringin nak makan petang dan bersantai dengan cendol ataupun coconut shake, maka sinilah jawabnya. Di sini juga terletak satu hotel unik yang popular yang dikenali dengan Bustel ( Bas + Hotel) dan boleh dikategorikan sebagai penginapan bajet. Lokasinya juga strategik dan tidak jauh dari tarikan-tarikan pelancongan lain di Melaka.

pantai menarik di melaka puteri
Pantai Puteri Melaka
– Bagi yang nakkan pantai yang kurang kehadiran pengunjung terutamanya di hujung minggu, bolehlah ke sini. Pantai ini lebih sesuai kalau sekadar nak lepak-lepak sambil menikmati pemandangan pantai sahaja. Tidak jauh dari Pantai Puteri, terletaknya makam laksamana Melayu yang tersohor iaitu Hang Tuah, yang merupakan seorang pahlawan Melayu yang terbilang pada masa dahulu yang wataknya sering dilakonkan di tv ataupun di teater-teater.

pantai tanjung bidara di melaka
Pantai Tanjung Bidara
– Pantai perkelahan yang terletak hanya beberapa minit dari Bandar Masjid Tanah. Mempunyai permukaan pantai yang landai dan kemudahan awam yang lengkap. Dikelilingi dengan perkampungan nelayan yang kaya dengan sumber laut yang segar dan sering menjadi tumpuan penduduk untuk mendapatkan hasil laut segar. Tidak hairanlah medan-medan ikan bakar di Melaka sangat popular dengan kesedapannya dan juga kesegaran makanan lautnya.

pantai pengkalan balak di melaka
Pantai Pengkalan Balak
– Pantai yang bersambung dengan Pantai Tanjung Bidara yang juga mempunyai permukaan pantai yang landai dan menarik untuk berkelah. Lokasinya juga dekat dengan Kem Tentera Terendak. Jadi sekiranya destinasi pantai-pantai lain sesak pada waktu cuti, bolehlah ambil alternatif lain untuk datang ke sini bersama keluarga mahupun dengan yang tersayang ketika berbulan madu.

pantai padang kemunting melaka
Pantai Padang Kemunting
– Destinasi ini merupakan pantai rekreasi di Melaka yang popular dengan penyu kerana di sinilah terletaknya Pusat Penetasan Penyu Karah yang dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Negeri Melaka. Tak perlu bersusah payah ke negeri Pantai Timur atau ke Sabah untuk melihat binatang laut yang sangat comel ini. Kanak-kanak pasti teruja kalau datang ke sini melihat sendiri dari dekat penyu-penyu kecil yang baru menetas.

pulau besar di melaka
Pulau Besar
– Pulau yang terletak 3 batu nautika dari Bandar Hilir Melaka ini sering menjadi destinasi mereka yang nakkan kawasan berlibur yang jauh dari kesesakan orang ramai samaada untuk berkelah ataupun untuk aktiviti bercamping. Perjalanan menaiki feri ke Pulau Besar hanyalah kurang sejam dari jeti Jeti Umbai ataupun jeti Anjung Batu. Di sini juga terdapat resort dan villa untuk disewa seperti Putera Island Resort dan Villa Pulau Besar.

pulau umpeh di melaka
Pulau Umpeh
– Merupakan sebuah pulau kecil yang kini menjadi pusat santuari penyu jenis Hawksbills. Penyu ini datang bertelur di Pulau Umpeh antara Bulan Mac sehingga Jun setiap tahun dan ketika ini juga ramai pelancong yang datang untuk melihat spesis penyu yang hampir ditelan kepupusan. Di sini juga terdapat sebuah resort yang terbiar dan untuk datang ke sini sebaiknya menaiki water taxi di Taman Rempah yang bersebelahan dengan Jambatan Hang Jebat.

Kepulauan lain di Melaka – Selain Pulau Besar dan Pulau Umpeh, terdapat juga pulau-pulau kecil lain di Melaka seperti Pulau Hantu, Pulau Serimbun, Pulau Lalang, Pulau Dodol, Pulau Nagka, Pulau Hanyut, Pulau Undan, Pulau Burung (Peringgi), Pulau Menatang dan Pulau Jawa. Namun kebanyakan pulau-pulau ini tidak berpenghuni, ada yang berfungsi sebagai rumah api dan ada yang masih belum dibangunkan lagi sebagai produk pelancongan di Melaka.

Tarikan Alam Semulajadi di Negeri Melaka

kawasan rekreasi sungai udang melaka
Hutan Rekreasi Sungai Udang
– Bagi mereka yang inginkan aktiviti outdoor di hutan seperti berkhemah, jungle trekking dan melihat flora fauna, salah satu tempat yang popular di Melaka yang boleh anda kunjungi ialah di Hutan Rekreasi Sungai Udang yang terletak di dalam Hutan Simpang Sungai Udang. Kebiasaannya destinasi ini lebih popular di kalangan pengunjung untuk beriadah melakukan senaman dan jogging kerana di sini terdapat trek jalan kaki yang agak mencabar dan curam.

taman tasek ayer keroh di melaka
Taman Tasik Ayer Keroh
– Destinasi taman rekreasi bertasik ini memang sangat popular di kalangan warga setempat untuk melakukan aktiviti riadah luar seperti jogging, sukan air seperti berkayak, paddling boat dan zorb ball (berlari atas air dalam bola) dan juga aktiviti lasak lain seperti wall climbing, flying fox dan sebagainya. Satu tempat menarik di Melaka yang sesuai untuk santai-santai petang ataupun berkelah di tepi tasik sambil melihat anak-anak bermain di taman permainan di sini. Destinasi ini juga berdekatan dengan zoo dan taman buaya serta mempunyai beberapa tempat makan menarik seperti Restoran Terapung Tasik Ayer Keroh.

taman seribu bunga di melaka
Taman Seribu Bunga
– Bagi mereka pencinta alam dan sukakan flora fauna berwarna warni, apa kata ke taman bunga ini yang terletak di Ayer Keroh yang menempatkan pelbagai spesis bunga-bunga yang menarik seperti orkid, bunga raya, tumbuhan herba dan sebagainya. Landskap taman ini juga cantik dan sangat terjaga serta sering menjadi destinasi photoshoot untuk gambar perkahwinan. Masuk ke sini juga adalah percuma.

air terjun asahan gunung ledang melaka
Air Terjun Asahan
– Salah satu air terjun yang sesuai untuk berkelah bersama dengan keluarga yang terletak di Laman Tiga Budaya. Juga dikenali dengan Air Terjun Gunung Ledang. Kemudahan asas untuk pengunjung juga tersedia dan akses dengan kereta ke kawasan air terjun juga mudah. Seperti di kebanyakan destinasi air terjun lain, setiap hujung minggu atau cuti sekolah, mesti ramai yang datang berkelah di sini.

taman rekreasi air panas jasin melaka
Taman Rekreasi Air Panas Jasin
– Juga dikenali sebagai Jasin Hot Springs Recreational Park yang terletak di Kampung Ayer Panas dan merupakan kolam air mineral yang panas secara semulajadi dan dipercayai baik untuk kesihatan kulit. Tidak seperti di kebanyakan kolam air panas lain yang agak terbiar, kemudahan untuk pengunjung di sini memang sangat baik serta suasana sekelilingnya yang bersih dan tersusun pasti menaikkan lagi semangat anda untuk berendam di sini.

tempat pelancongan menarik melaka 2016 best
Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang –
Terletak hanya 20 km dari bandaraya Melaka, merupakan sebuah produk agro pelancongan yang popular di Melaka. Kemudahan penginapan juga tersedia dan yang paling best di sini adalah pengalaman untuk ke kebun buah dan merasai kemanisan buah-buahan segar dari ladang. Kalau anda tiada kampung atau dusun buah-buahan, bolehlah ambil peluang untuk membawa anak-anak ke sini bagi mengenali suasana sebuah dusun buah-buahan sambil-sambil memantapakan ilmu alam semulajadi dek sebalik kemodenan teknoogi hari ini.

kolam air panas gadek melaka
Kolam Air Panas Gadek –
Sebuah kolam air panas semulajadi yang terletak di Alor Gajah dan kira-kira 30 km dari bandar utama Melaka. Kandungan sulfurnya yang semulajadi dipercayai boleh mengubati penyakit kulit dan baik untuk peredaran darah. Suhu purata air panas di sini sekitar 56 darjah celsius dan memang agak panas yang mana mungkin agak tidak sesuai untuk kanak-kanak yang masih kecil.

taman botanikal melaka
Taman Botanikal Melaka
– Taman yang dahulunya dikenali dengan Taman Rekreasi Ayer Keroh ini menempatkan pelbagai taman-taman tumbuhan seperti Taman Keladi, Taman Buluh, Taman Orkid dan Taman Herba di dalam kawasan seluas 90 ekar. Terdapat juga chalet di sini yang sesuai untuk aktiviti bercamping, kem motivasi dan berkhemah. Dengan kemudahan yang ada semestinya Taman Botanikal Melaka satu tempat menarik di Melaka untuk family day.

Destinasi pelancongan menarik di Melaka seperti di atas juga memang tidak asing lagi bagi warga kota dari KL dan Selangor untuk bercuti memandangkan jarak perjalanannya yang tidak jauh. Setiap hujung minggu memang tidak lekang dengan kunjungan orang ramai dan pelancong-pelancong. Selamat cuti-cuti ke Melaka dan wassalam.