Tarikan Pelancongan di Zoo, Aquaria & Taman Haiwan di Melaka

Destinasi tarikan pelancongan di Melaka juga tidak ketinggalan untuk menawarkan tarikan taman haiwan atau zoo yang menarik untuk dilawati bersama keluarga. Yelah, bagi kita yang dewasa mungkin lebih pandai untuk menghayati destinasi bersejarah di Melaka tetapi kalau bercuti dengan anak-anak, mereka sudah tentu lebih gemarkan destinasi yang lebih menyeronokkan seperti tengok haiwan dan binatang liar.

Berikut merupakan kesemua tempat menarik di Melaka yang mempunyai tarikan binatang eksotik yang pasti membuatkan anak-anak teruja.

9 destinasi taman haiwan & zoo di Melaka

zoo melaka menarik
Zoo Melaka
– Satu-satunya Zoo yang besar di Melaka untuk melihat pelbagai jenis binatang buas yang dibawakan khas dari dalam dan luar negara. Selain melihat binatang pengunjung juga boleh melihat persembahan burung-burung yang jinak berwarna warni yang diadakan setiap hari dan juga merasai pengalaman memberi makan kepada gajah. Pada hujung minggu pula anda boleh mencuba night safari tour untuk melihat binatang-binatang liar di Zoo Melaka yang aktif pada waktu malam.

night safari di melaka zoo
Night Safari
– Night Safari di Zoo Melaka merupakan salah satu tempat menarik di Melaka pada waktu malam yang boleh anda datang bersama keluarga untuk melihat gelagat binatang buas. Aktiviti ini hanya dibuka kepada umum pada setiap malam Jumaat dan Sabtu sahaja. Selain pada cuti hujung minggu biasa, Night Safari juga dibuka pada hari-hari khas seperti cuti sekolah dan cuti-cuti umum.

zoo menarik di melaka
Wildlife Theatre Melaka
– Destinasi ini merupakan animal show atau persembahan binatang liar seperti singa laut, burung kakak tua dan binatang blue tongue skink yang pasti membuat penonton teruja melihat gelagat binatang-binatang ini. Terdapat juga persembahan kebudayaan yang ikonik iaitu Borneo Warrior bagi memeriahkan lagi suasana di theatre aqua ini. Pastikan anda rancang jadual ke sini dengan merujuk jadual persembahan harian terutamanya pada cuti sekolah untuk elakkan kesesakan.

taman buaya di melaka menarik
Taman Buaya Melaka
– Sebuah taman yang menempatkan lebih 100 ekor buaya pelbagai spesis dalam dan luar negara yang terletak di Ayer Keroh, Melaka. Selain tarikan binatang buaya, di sini juga menempatkan beberapa tarikan lain yang mesra kanak-kanak seperti taman rekreasi air, rumah hantu dan juga mini zoo yang menempatkan beberapa binatang comel seperti burung, ayam api-api dan sebagainya. Waktu yang paling menarik di sini ialah ketika melihat persembahan daripada staff-staff di sini bagaimana mereka melakukan aksi yang sangat berani bersama buaya.

taman burung di melaka
Taman Burung Melaka
– Taman Burung di Melaka ini terletak berdekatan dengan Taman Botani di Ayer Keroh. Taman ini terbuka dengan laluan jalan kaki atau dikenali dengan skywalk setinggi 12 meter dari tanah. Tidaklah sebesar Taman Burung di KL namun tetap menempatkan pelbagai spesis burung dalam dan luar negara yang tidak kurang menariknya. Dan yang best, pengunjung juga boleh berinteraksi secara langsung dengan sesetengah burung comel tanpa sempadan pagar.

taman rama rama di melaka
Taman Rama-Rama & Reptilia
– Destinasi tarikan di Melaka yang cukup popular sejak 1991 dengan menempatkan pelbagai spesis rama-rama, burung dan juga ular-ular. Kalau nak tengok rama-rama terbesar di dunia (11 inci) dari jenis Queen Alexandra’s Birdwing (Ornithoptera alexandrae), bolehlah ke sini. Bagi mereka yang berbulan madu ke Melaka, sesuai sangatlah datang ke tempat-tempat yang romantis dan berwarna-warni di Taman Rama-Rama Melaka ini.

coral wonderland melaka
Coral Wonderland
– Merupakan sebuah destinasi yang mempunyai tarikan aquaria yang terletak di Dataran Pahlawan Mall, aras 4 di Bandar Hilir Melaka dan menempatkan pelbagai jenis terumbu karang, tapak sulaiman dan ikan laut dalam yang berwarna warni. Pengunjung juga boleh pegang sendiri beberapa hidupan marin di sini. Satu tempat menarik di Melaka yang sesuai untuk habiskan masa dengan anak-anak selepas shopping ataupun selepas makan di foodcourt Dataran Pahlawan Mall.

the shore aquarium melaka
The Shore Oceanarium
– Sebuah aquaria yang tidak sebesar Aquaria KLCC namun mempunyai koleksi ikan dan terumbu karang yang juga tidak kurang menariknya. Terletak di The Shore Shopping Mall di aras 2. Sesuailah kalau nak datang ke sini bersama anak-anak untuk lebih mengenali hidupan marin yang sangat eksotik yang susah nak dilihat di tempat lain. Bolehlah sang suami menghabiskan masa di sini sementara menunggu isteri shopping di The Shore Shopping Mall yang sudah tentu akan memakan masa yang lama.

kawasan taman binatang di melaka
Jonker Bird House –
Merupakan tempat penjagaan burung walet dan pengunjung boleh belajar dengan lebih dekat proses sarang burung walet yang sangat popular di Malaysia. Pengunjung juga berpeluang merasa sendiri makanan ini dengan harga yang berpatutan mahupun ataupun membeli produk sarang burung yang ada di sini. Sesuai untuk dijadikan ole-ole untuk orang tua sebagai makanan kesihatan.

Semoga destinasi di atas memudahkan anda untuk membawa anak-anak jalan-jalan di tempat-tempat pelancongan menarik di Melaka kelak. Wassalam.